Ikan kelah merupakan
spesies kap kedua terbesar dalam sistem sungai kita selepas temoleh dan boleh
mencapai berat sehingga lebih 30 kg. Namun
hampir mushatil untuk kita bertemu dengan saiz sesasa itu di zaman millenium ini. Kita dianggap cukup bertuah jika dapat
menewaskan spesimen melebihi 4 kg dan saiz sebeginilah yang memiliki kuasa
pecutan yang luar biasa dan ‘tak boleh control’.
“tor, dah
ready untuk sesat ke?” itulah antara soalan yang
diajukan oleh abang Zainal sewaktu kami bertemu di hentian R&R Tapah. Lokasi pertemuan ketika dalam perjalanan
menuju ke Jeli dalam ekspedisi ke sebuah sungai yang terletak di Barat Laut
negeri Kelantan. Saya hanya tersenyum
sambil membalas “kita tawakal je”.
Sebenarnya trip trekking ke
sungai ini telah dirancang lebih sebulan lalu dan akan disertai oleh sebelas
pemancing ‘tegar’. Namun di saat-saat
akhir, pemandu arah kami iaitu abang Zulkifli serta Jep tidak dapat menyertai kerana ada urusan yang tidak
dapat dielakkan.
Hendak Seribu Daya
Memandangkan
hanya tinggal kami sembilan orang, abang Zainal terpaksa menjadi guide
‘bidan terjun’ kerana hanya beliau sahaja di antara kami yang telah sampai ke
sungai ini beberapa kali. Berbekalkan
sedikit panduan pengenalan lokasi atau check
point yang boleh diingati dari abang Zulkifli serta semangat, kami bertekad
untuk meneruskan ekspedisi ini.
Trekking bermula dari pinggir jalan yang menghubungkan antara Jeli dan Grik atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya
Timur-Barat. Memandangkan lokasi yang
bakal dituju telah lama tidak dikunjungi, abang Zainal telah mengingatkan kami
supaya bersedia untuk sesat. Malah
tempoh perjalanan mungkin menjadi lebih panjang sekiranya kami tersalah arah.
Setelah lebih
enam jam meredah hutan yang ada kalanya memaksa kami memanjat serta merangkak
di bawah kayu tumbang, meniti cemas di lereng bukit yang curam serta ‘diekori’
binatang buas. Kami akhirnya selamat
tiba di tapak perkhemahan berhampiran sebuah lubuk besar di tebing sungai. Mujurlah tidak sesat.
Namun begitu,
sungai ini memaparkan tanda fizikal yang kurang menyenangkan. Airnya cukup keruh, mungkin disebabkan hujan
pada malam sebelumnya ditambah pula hujan lebat yang turun menyirami kami sejam
sebelum tiba di basecamp.
Selesai
sahaja mendirikan khemah, hujan mulai reda seolah-olah memberi laluan kepada
kami untuk mencari lesen pertama.
Masing-masing mula mencari spot yang sesuai untuk melabuhkan umpan. Tanpa menunggu lama, beberapa ekor tengas saiz
bujang berjaya dinaikkan pada petang itu.
Namun kegembiraan kami hanya seketika sahaja, hujan lebat sekali lagi
turun untuk menguyupkan kami semua.
Batalion Kelkatu
Menjelang
senja, hujan lebat masih rancak ‘menaip’ setiap inci permukaan bumi. Dalam keadaan basah kuyup, kami terpaksa menyediakan
juadah untuk makan malam. Malang bagi kami, ketika
sedang sibuk memasak kami diserang sejenis serangga terbang seakan-akan kelkatu
yang bersaiz kecil. Mungkin hujan lebat
telah mendorong mereka keluar atau sarang mereka telah dimasuki air.
Habis semua
punca cahaya ‘diserangnya’ sehingga hendak hidupkan lampu walau beberapa saat
sekalipun tidak boleh. Malah api dari
dapur masakan kami juga turut diserang.
Lebih malang
lagi, lauk yang telah dimasak turut sama dikerumun ‘mereka’ dalam sekelip mata sehingga
nak makan pun tidak boleh.
Hujan lebat
yang berlarutan akhirnya reda ketika jam menghampiri pukul sepuluh malam. Mujur tidak dihambat kepala air lagi seperti
pengalaman kami di hulu Sg. Koh pada tahun lepas. Walaupun paras air meningkat melebihi satu
meter, khemah kami masih berada di paras yang selamat. Selepas itu tiada apa yang boleh kami buat
selain sembang kosong dan tidur awal pada malam tersebut sambil perut menyanyikan
lagu ‘keroncong untuk Ana’.
Peralatan Teruji
Hari
kedua, paras air semakin tinggi dan keruh.
Kami berpecah pada dua kumpulan supaya lebih banyak kawasan dapat
diduga. Kumpulan abang Zainal seramai
empat orang merancang untuk naik jauh ke hulu sehingga ke penempatan tinggalan
Orang Asli dan bermalam di sana . Manakala kumpulan saya seramai lima orang pula mencuba di
bahagian hilir khemah di antara tiga buah jeram besar.
Memandangkan
keadaan air yang begitu keruh, kami tidak menaruh harapan tinggi untuk
mendapatkan hasil pada hari tersebut.
Sehingga petang, walaupun keadaan air bertambah surut, tiada tangkapan
yang boleh dibanggakan kecuali seekor tengas mencecah sekilogram dari pancingan
Haji Lan. Tangkapan lain hanya ikan
daun, baung dan beberapa ekor tengas bersaiz ‘bujang’.
Malamnya,
kami sekali lagi diserang kelkatu tetapi tidak seteruk malam pertama. Hujan renyai yang turun sekali sekala
menyebabkan saya, Nasz dan Haji Lan lebih berminat untuk berehat sahaja sambil
berharap air akan bertambah surut dan jernih pada keesokkan harinya. Hanya Kendo dan Kamal sahaja yang berminat
untuk memancing pada malam itu.
Ketika baru
nak melelapkan mata, berlaku sedikit kekecohan di luar khemah. Rupa-rupanya seekor kelah hampir sekilogram
telah berjaya didaratkan oleh Kamal dan sekaligus menyuntik kembali semangat
kami yang hampir hilang untuk turut mencuba.
Rupanya pada malam tersebut, nasib kami lebih baik dari apa yang
diharapkan. Kurang setengah jam selepas
itu, Nasz yang berada di sebelah saya bingkas bangun menahan jorannya yang
melentur hebat ketika kami baru nak mula bersembang.
Mangsa yang
merampas umpan sawit mencicit laju menuju ke arah jeram tanpa dapat disekat
seolah-olah drag dari kekili Abu Cardinal 804 tidak berfungsi. Ternyata mangsa kali ini cukup gagah apabila berjaya
membawa lari tali Gosen 38 paun sejauh
lebih 40 meter dalam first run sahaja.
Mangsa sempat dilihat menghambur di tengah sungai apabila cahaya lampu
disuluh ke arahnya sebelum membuat beberapa pecutan menggila.
Keadaan
sedikit kelam kabut kerana Nasz terpaksa bertarung dalam kegelapan malam. Lampu suluh hanya dihidupkan apabila perlu
sahaja kerana kuatir mangsa akan terkejut apabila terlihat cahaya seperti
tadi. Hanya kata-kata semangat yang
dapat kami bantu sambil ‘bersedia’ di gigi air.
Mujur kemahiran Nasz mengawal amukan mangsa dibantu joran Fenwick
Eagle GT 10-20 paun berjaya mengekang hala tuju mangsa dari terus menuju ke
arah jeram bertingkat di sebelah bawah.
Dari corak perlawanan, kami dapat mengagak gerangan siapakah yang punya
angkara.
Rekod Tercipta
Hampir
15 minit bertahan dan berlawan ‘tarik tali’, mangsa mula menunjukkan
tanda-tanda mengalah. Ketika ini, proses
mengepam secara konsisten sambil menggarau tali amat penting bagi mengelakkan
mangsa dari mengambil peluang untuk memutuskan tali di saat-saat genting. Hanya sesekali ia mencuri keluar tali sambil
menggunakan taktik terakhir iaitu memberatkan badan.
Mangsa
akhirnya berjaya dipangku ke darat walaupun tali yang digunakan sudah teruk
menggerutu disebabkan bergesel dengan batu-batu jeram. Seperti yang dijangka, mangsa adalah seekor
kelah (tor tambroides) yang cukup
besar berskala 5.5 kg! Masing-masing
bersorak riang dengan tertewasnya raja sungai ini. Nasz yang pertama kali bertarung dengan
mangsa sebesar itu seakan terkena parkinson kerana menggigil seluruh
badan akibat didera oleh kelah tersebut.
Walaupun ramai
yang beranggapan kelah tidak keluar mencari makan ketika air sungai keruh,
namun kejadian sebaliknya berlaku pada kami.
Sebagai makhluk yang hidup di dalam media air yg sentiasa berubah, kelah
dapat menyesuaikan diri untuk mencari makan walaupun dalam keadaan air yang
keruh. Kes ini sama seperti kelah yang
bermastautin di lembangan Sg. Nenggiri dan Sg. Telom yang airnya sentiasa keruh
hampir sepanjang tahun.
Menurut
abang Zainal, di lokasi yang sama kelah sebagak 7 kg pernah ditewaskan beberapa
tahun lepas. Malah tarikan tak boleh control dan tali meletup putus juga
kerapkali mereka alami. Selang beberapa
jam selepas itu, pancing saya pula direntap ikan sehingga joran yang bertambat terawang-awangan
di pancang sebelum dapat dicapai. Setelah
bertarung seketika, bapak tengas 1.3 kg pula yang tunjuk muka.
Badong Makan Sawit?
Pagi
berikutnya, paras dan kejernihan air sungai mula menampakkan serinya. Saya dan Kendo berhasrat untuk mengilat pada
pagi itu untuk memburu spesies pendendam gewang. Namun setelah mencuba beberapa ketika dan
bermacam jenis gewang kami gunakan, masih belum ada sebarau yang bersaiz kasar
sudi meligan gewang kami sedangkan sungai ini cukup terkenal dengan sebaraunya.
Namun
lain teknik yang diharapkan, umpan hirisan sawit untuk tengas pula yang
dilarikan sebarau. Kali ini giliran
Kamal apabila makhluk misteri yang pada mulanya disangka kelah telah melarikan
umpan sawitnya. Setelah puas dilayan
dengan set ringan dan berjaya didaratkan, rupanya En. Hampala macrolepidota yang punya
angkara. Nasib baik mata kail halusnya
terbenam kukuh dalam daging bibir sebarau yang liat itu. Kalau tidak, belum tentu sebarau tersebut
dapat ditewaskan.
Menurut
Kamal, sebarau tersebut mungkin terlekat pada matakailnya apabila cuba
‘merampas’ ikan tengas yang memakan umpannya.
Kerana amat jarang kita dengar sebarau menjamah umpan sawit apatah lagi
hirisan sawit tersebut hanya layak dibuat tahi giginya sahaja. Walaupun begitu, sebarau tetap sebarau dan
beratnya mencecah 2.5 kg apabila ditimbang.
Kamal sempat berseloroh dengan mengatakan ‘boleh datang lagi kalau ada trip ke sini’ .
Sebelah
malamnya, ada juga beberapa tarikan kasar yang kami terima tetapi berakhir
apabila tali utama dan perambut meletup putus di awal pertarungan. Kami hanya menggeleng kepala dengan sambaran
demi sambaran yang berlaku. Kami
mengesyaki ianya mesti perbuatan kelah. Selepas
itu, walaupun kami tekun menunggu, tiada lagi sebarang tangkapan bersaiz kasar
yang berjaya dinaikkan.
Akan Musnah
Dari
pengamatan saya, potensi sungai ini cukup tinggi untuk memperolehi tangkapan
pemecah rekod. Berdasarkan saiz keluasan
lubuk dan faktor kedalaman sungai, tidak keterlaluan jika saya mengatakan masih
terdapat kelah bersaiz belasan kilo yang menghuninya di dalamnya. Jeramnya juga boleh menjadi salah satu
tarikan bagi penggemar sukan lasak yang ingin melakukan white water rafting.
Walaupun
begitu, ada satu panorama yang kurang ‘enak’ dapat kami lihat semasa berada di sana . Penerokaan hutan bagi tujuan pembalakan cukup
rancak dijalankan. Sehinggakan ianya
melebihi dari kawasan zon pemampan sungai yang bakal mengalirkan selut dan
tanah dari kawasan yang dibuka. Malahan
kerja-kerja mengeluarkan balak masih kedengaran walaupun jam melewati pukul 5
pagi!
Kami
tidak tahu sampai bila perkara tersebut akan berterusan dan bagaimana nasib
penghuni yang mewarnai sungai ini. Adakah
ianya hanya akan menjadi cerita ‘rakyat’ jika segalanya telah musnah. Apa yang kami harapkan agar perkara ini tidak
berlarutan supaya ianya dapat dikongsi bersama
anak cucu kita kelak.