Taman Negara Kuala Koh, satu nama yang
cukup sinonim bagi pemancing sungai pergunungan terutama peminat ikan kelah.
Lubuk-lubuk di sekitar Sungai Lebir seperti lubuk Kedah, Kaloi, Jengal dan
Pertang antara lubuk yang sering menjadi tumpuan. Tetapi bagaimana pula dengan
potensi Sungai Koh yang menjadi mercu tanda taman negara ini.
Ibarat mimpi menjadi kenyataan. Mungkin itulah perumpamaan yang sesuai
diberikan apabila matlamat saya untuk menduga salah satu spesis penongkah jeram
iaitu ikan kejor dengan hanya berbekalkan gewang tercapai. Lazimnya,
kebanyakkan pemancing lebih mengamalkan teknik pancingan konvensional untuk
memburu spesis ini. Walaupun ada juga
kes tangkapan menggunakan gewang tetapi ianya amat jarang di laporkan.
Perancangan untuk mengilat ikan kejor ini disuarakan oleh boatman
Amir beberapa bulan yang lalu. Katanya,
antara lokasi yang sesuai untuk tujuan tersebut adalah di hulu Sungai Koh.
Tetapi untuk ke tempat tersebut, tiada perkhidmatan bot disediakan sebaliknya
perlu trekking meredah bukit bukau selama lebih kurang tujuh jam!
Sempena Namanya
Sungai Koh yang mengalir dari arah
barat Taman Negara ini merupakan salah satu cawangan utama Sungai Lebir. Jika ditinjau di bahagian hilir jeti Taman
Negara ini, kita boleh melihat kuala sungai hasil pertemuan antara Sungai Koh
dan Sungai Lebir yang dipanggil Kuala Koh.
Dari pertemuan dua sungai inilah nama Taman Negara Kuala Koh
diambil.
Walaupun sungai ini kelihatan agak
kecil dan lesu di kuala, tetapi di hulunya ianya mengalir deras serta di hiasi
berpuluh-puluh jeram dan air terjun yang cukup mempesonakan. Selain itu, Sungai Koh juga turut di saliri
oleh beberapa batang anak sungai antaranya Sungai Besu, Sungai Manau, Sungai
Kuing, Sungai Paku dan banyak lagi.
Lubuk serta jeramnya juga mewah dengan populasi ikan sungai pergunungan
seperti kejor, kelah dan juga sebarau. Yang paling mengujakan bagi pemancing
seperti kami apabila diberitahu zon hulu sungai ini jarang-jarang dikunjungi
pemancing.
Pancit
Akhirnya pada penghujung March yang
lalu, trip yang disertai seramai lapan pemancing dan diketuai oleh Amir sebagai
guide memulakan langkah sekitar jam 10.30 pagi setelah segala urusan
pembayaran permit dilakukan. Telahan
kami tentang trek yang bakal dilalui sekadar trek biasa ternyata silap kerana
ianya lebih sukar dari jangkaan kami.
Bagi yang pernah sampai ke hulu Sungai Koh ini, pasti tahu betapa
siksanya ketika melalui trek yang di panggil Rentis Lata Purnama. Walaupun hampir kesemua yang menyertai trip
ini ada pengalaman dalam acara trekking, namun ramai yang “pancit”
termasuk saya sendiri. Ditambah pula
badan yang tak cukup rehat setelah memandu hampir sepanjang malam.
Selain dari trek yang di halangi pokok-pokok tumbang serta
merentasi anak-anak sungai, kami juga terpaksa mendaki beberapa buah bukit yang
agak curam. Beg galas yang dibawa terasa
seakan bertambah beratnya setelah beberapa jam berjalan terutama ketika mendaki
bukit. Silap haribulan, dagu boleh
bertemu lutut! Pendakian lebih terasa
kerana sebahagian trek yang dilalui hampir tidak kelihatan dan seolah-olah
tiada penghujung.
Ada ketikanya sewaktu pendakian kaki hanya mampu membuat beberapa
langkah sahaja dan terpaksa berhenti. Jika diteruskan, kaki boleh menjadi
kejang. Di waktu ini, ketahanan kaki amat
diperlukan terutama sekali ketika menuruni bukit kerana jika tersilap langkah,
pasti akan mengundang padah. Justeru
itu, penggunaan knee guard serba
sedikit dapat membantu menguatkan kaki yang semakin lemah. Selain itu, ada juga yang mengambil kesempatan
untuk tidur sebentar ketika berhenti berehat bagi memulihkan tenaga yang hampir
hilang.
Lubuk Sungai Besu
Setelah
hampir tujuh jam perjalanan dan hari melewati senja, kami akhirnya sampai ke
tapak perkhemahan berhampiran sebuah lubuk yang dinamakan Lubuk Sungai Besu
dalam keadaan yang teramat letih.
Selesai mendirikan khemah, kami memulakan acara mengilat dalam
remang-remang senja sebagai sesi pemanas badan.
Tanpa
menunggu lama, Amir berjaya memperolehi strike
pertama dari bujuk skala 1.2kg
menggunakan sesudu. Selepas itu keadaan
menjadi sepi walaupun waktu tersebut merupakan waktu “makan malam” bagi
keluarga sebarau. Malamnya, sesi
pancingan dasar berumpan cengkerik menghasilkan beberapa ekor tengas daun serta
baung saiz sederhana dan seekor keli pergunungan.
Jernih Kristal
Pagi hari kedua, selesai mengalas
perut kami mula bergerak ke hulu melalui trek yang telah lama
ditinggalkan. Menurut Amir, trek
tersebut digunakan oleh pendaki untuk ke Gunung Tahan melalui pintu masuk Taman
Negara Kuala Koh yang akan mengambil masa selama sembilan hari!
Lebih kurang dua jam kemudian, kami tiba di kawasan jeram yang agak
panjang dan airnya yang jernih kristal membolehkan kami melihat ikan
berlegar-legar di dalamnya. Mengilat di
sini hanya menghasilkan beberapa ekor tengas daun serta anak-anak sebarau, manakala kejor masih sifar. Mungkin kerana hari belum cukup panas seperti kata Amir. Menurutnya, kejor di sini lebih berminat
dengan gewang ketika hari mulai panas sekitar jam 11 pagi.
Memandangkan hari masih awal, kami
mengambil keputusan untuk pergi lebih ke hulu manakala beberapa orang rakan
saya lebih berminat untuk pancing dasar di sekitar kawasan jeram tadi. Perjalanan ke hulu lebih sukar kerana kami
perlu meredah berpuluh jeram serta memanjat sebuah air terjun yang agak tinggi
yang dihalang sebongkah batu besar di tengah-tengahnya.
Kejor Ratah Besi
Melepasi air terjun tersebut,
terbentang kawasan lata dan lubuk yang agak kecil tetapi kelihatan berpotensi
untuk acara mengilat. Pada mulanya saya
lebih berminat untuk menggunakan gewang replika ikan untuk memikat kejor di
situ. Namun, apabila melihat Amir yang cukup
masak dengan perangai ikan di situ menaikkan kejor satu persatu hanya
menggunakan sesudu sahaja, saya mula beralih arah dengan menggunakan sesudu
juga.
Ternyata, kejor di sini lebih berminat dengan gelekan umpan besi
berbanding gewang replika ikan terutama yang menyerupai sesudu klasik Abu
Toby dan Abu Island. Walaupun
ada sambaran dari gewang replika ikan tetapi peratusannya agak sedikit. Selepas itu, barulah saya berjaya mendaratkan
kejor satu persatu tetapi saiznya hanyalah bawah sekilogram. Menurut kata Amir,
rata-rata kejor yang biasa didaratkan di situ jarang melebihi saiz dua
kilogram.
Sewaktu mengilat di satu lubuk yang
agak dalam, balingan sesudu saya ke bawah dahan pokok yang menjuntai ke air
terus disambar seekor kejor. Pada
mulanya, ikan tersebut hanya mengikut sahaja tanpa memberikan tentangan namun
selepas beberapa ketika, ia mula membenam dengan kuat . Sayangnya setelah puas bermain, kejor yang di
anggarkan melebihi sekilogram itu terlepas hanya dua kaki dari gigi air. Tergaman saya dibuatnya.
Di satu kawasan lata yang sederhana dalam, Amir menerima satu strike
yang agak kasar tetapi rabut ketika sesudunya melewati sebongkah batu di
dasar sungai. Kemudian, ikan yang
menyambar tadi membuat sambaran kedua dan kali ini lekat. Keadaan air yang cukup jernih menampakkan gerak
geri ikan ketika ia menyambar umpan.
Dari tentangan yang diberikan, ternyata mangsa kali ini agak kasar
dan Amir melayannya dengan penuh berhati-hati.
Agak lama juga Amir melayan ikan tersebut sebelum ia terdampar ke gigi
air. Apabila ditimbang, berat ikan
tersebut mencecah skala 1.8kg dan panjangnya mencapai 60 sentimeter.
Kawanan Kejor
Mengilat di sini, acapkali berlaku di mana kawanan kejor antara lima
hingga enam ekor berebut-rebut untuk menyambar sesudu yang dilontarkan. Ada juga yang berani mengejar sesudu sehingga
rapat ke tebing tanpa menghiraukan pemancing yang terpacak di situ. Ini menunjukkan bahawa kawasan tersebut amat
jarang diterokai manusia. Semakin ke
hulu, semakin banyak ikan sehinggakan air sedalam antara dua hingga tiga kaki
pun di huni kejor melebihi sekilogram.
Dari pemerhatian saya, kejor di sini lebih cepat tertarik dengan
sesudu yang dilontarkan di kawasan alur yang berair laju atau di kepala
jeram. Manakala di kawasan lubuk yang
berair tenang pula, tumpukan balingan di kawasan yang dipayungi pokok serta dahannya terjuntai ke tebing sungai. Kejor gemar menyambar sesudu yang baru jatuh
di kawasan yang saya sebutkan. Sekiranya
ikan hanya mengekori sesudu, cuba perlahankan karauan atau berhenti seketika. Biasanya kejor akan menyambar sesudu yang
sedang membuai jatuh.
Satu kejadian menarik berlaku apabila sesudu yang saya lontarkan di
kepala sebuah jeram diekori beberapa ekor kejor baya-baya sekilogram hingga ke
tebing tetapi sesudu tersebut tidak disambarnya. Kemudian kawanan kejor tersebut hanya berlegar-legar
di sebalik batu yang jaraknya hanya lebih kurang tiga meter dari saya.
Balingan seterusnya ke tempat ikan tersebut berlegar terus disambar
salah seekor daripadanya dan ikan tersebut terus meluru laju menuruni jeram dan
dengan pantas mencilok di sebalik batu besar di tebing sungai. Tindakan ikan tersebut memaksa saya memanjat
batu besar tersebut bagi mengawal lariannya kerana tiada tempat lain untuk saya
berdiri.
Ternyata mangsa kali ini agak kuat melawan apabila berjaya mencuri
bebarapa ela tali sulam 10lb yang saya gunakan sehinggakan tangan saya lenguh
menahan pecutannya. Kombinasi kekili
Shimano Sensilite Mg 1500 serta joran
Daiwa Megaforce 8-14lb akhirnya berjaya mengekang larian mangsa. Setelah didaratkan, kejor seberat 1.45kg itu
merupakan seekor ikan jantan. Patutlah kuat
semacam.
Mana Kelah
Selepas itu, beberapa ekor lagi kejor berjaya didaratkan yang
kebanyakkannya kami lepaskan semula.
Sedar tak sedar, rupa-rupanya kami telah jauh ke hulu. Yang peliknya, zon hulu sungai ini hanya di
monopoli oleh ikan kejor. Sebarau
langsung tak nampak bayang walaupun yang bersaiz juvenil. Manakala kelah yang kebiasaannya berkongsi
habitat dengan kejor masih malu-malu untuk menjamah sesudu kami walaupun
kelibatnya beberapa kali di lihat mengekori sesudu.
Rakan yang memancing dasar juga mengkhabarkan berita kejor serta
seekor baung yang berani menyambar sesudu.
Kelah tetap enggan menjamah umpan yang dihulurkan. Mungkin air yang terlalu jernih menambahkan
lagi kecurigaan kelah terhadap umpan.
Setelah jam menghampiri pukul tiga petang, kami mula bergerak turun
tanpa menoleh kebelakang lagi. Bagi
menjimatkan masa, kami mengambil keputusan untuk turun ke
khemah menyusuri sungai sahaja. Dalam
keadaan hujan, kami selamat tiba di khemah dengan kaki yang sengal-sengal
setelah hampir empat jam berjalan Pada
masa ini, barulah terasa betapa sakitnya kaki apabila dipaksa bekerja
keras. Masa tengah syok memancing tadi,
tak pulak terasa sakit.
Hujan yang turun agak lebat menyebabkan air menjadi sedikit keruh
pada keesokannya. Acara mengilat hanya
dijalankan sehingga tengahari sahaja apabila tiada sebarang strike di
perolehi walaupun berbagai jenis sesudu dan gewang digunakan. Saya yang
mengharapkan “badung” pada hari tersebut turut panjang tangan melontar gewang
yang tidak bersambut. Sebelah petang,
agenda ditukar kepada pancingan dasar dan kejor tetap pencabar nombor satu
serta beberapa ekor tengas daun.
Hari terakhir, kami mengambil
keputusan untuk pulang awal setelah melihat tiada tanda-tanda air akan kembali
jernih. Maka bermulalah kembali episod
perit meniti jalan pulang. Walaupun
terasa seakan serik, tetapi kami tetap merancang untuk datang kembali! Mungkin kelah pula menjadi target kami selepas
ini.
No comments:
Post a Comment