'Rombongan' selama beberapa hari ke sebuah sungai yang dinobatkan sebagai salah satu syurga kelah di pedalaman Pahang dengan trekking memberikan seribu satu pengalaman yang sukar dilupakan.
Balingan umpan
kelapa sawit di kolam air terjun terus disambar rakus oleh penghuni di dalamnya
tanpa sebarang isyarat. Sembatan padu yang dilakukan menyebabkan ikan memecut
laju menuruni jeram yang berair deras tanpa dapat dikawal. Drag kekili tica
Baitrunner 4000 seolah-olah tidak berfungsi lantas tapak tangan menahan
gelendung untuk menyekat larian menggila sang ikan. Gabungan tali utama sekasar
40paun beserta perambut 35paun langsung tak memberi kesan pada pecutan sang
ikan. Namun, selang beberapa saat kemudian tali menjadi kendur menandakan
mangsa sudah terlepas. Apabila diperiksa, rupa-rupanya matakail Gamakatsu
saiz 2/0 yang digunakan menjadi lurus.
Menguji stamina
Lubuk Akuarium
Kelah akrobatik
Kesan banjir
Itulah antara
senario menarik yang dapat dilihat semasa kunjungan saya ke sebuah sungai di
selatan Pahang baru-baru ini. Bagi pemburu ikan kelah, kejadian seperti ini
merupakan asam garam dalam memburunya. Walaupun ikan berjaya dipujuk untuk
memakan umpan, belum tentu ia dapat didaratkan kerana kepantasan serta kudrat
luarbiasanya seringkali menyebabkan pemburunya mengeluh
Menguji stamina
Trip yang
dirancang lebih dua bulan ini memaksa pesertanya mengerah segala kudrat kerana
perlu merentas hutan atau trekking yang memakan masa lebih dari enam
jam. Dolah, selaku penganjur trip ini awal-awal lagi menyuruh semua peserta
mencari stamina sebelum berangkat. Perjalanan dimulakan seawal jam 4.30
pagi. Walaupun perjalanan agak mudah pada mulanya, namun selepas beberapa jam
halangan seperti meredah anak-anak sungai serta balak tumbang semakin
memperlahankan perjalanan.
Kontour muka bumi yang berbukit-bukit
dan adakalanya perlu mendaki
bukit 45 darjah menyebabkan ramai yang “pancit” di pertengahan jalan. Di
samping itu, ratusan pacat sentiasa menanti untuk menghisap darah “percuma”.
Ianya benar-benar menguji kekuatan fizikal dan mental setiap peserta. Walau
bagaimanapun, setibanya di basecamp segala perit jerih yang dilalui
hilang apabila sungai yg ditujui terbentang di depan mata. Kesyahduan belantara
dan bunyi air mengalir betul-betul menenangkan minda.
Memandangkan
jumlah lubuk yang agak terhad di sekitar basecamp serta bilangan
pemancing yang ramai, kami berpecah pada dua kumpulan. Satu kumpulan memancing
di sekitar basecamp manakala kumpulan saya memancing di lubuk di bahagian lebih
hulu iaitu lagi dua jam perjalanan dari basecamp serta bermalam di sana.
Lubuk Akuarium
Dalam
perjalanan, kami sempat singgah di beberapa lubuk antaranya lubuk air terjun,
lubuk gajah dan lubuk batu belah. Di lubuk air terjun, seekor kelah besar telah
melarikan umpan milik guide kami seperti di permulaan cerita tadi. Kami
yang melihat hanya mampu menggeleng kepala apabila kelah berjaya meloloskan
diri setelah meluruskan matakail.
Berhampiran
tapak khemah kami, terdapat sebuah lubuk sederhana besar yg dinamakan Lubuk
Akuarium oleh guide di sini. Dalam trip-trip sebelum ini, di lubuk
inilah kelah paling banyak didaratkan. Ketika air jernih, kelah skala 1kg-3kg
boleh dilihat mundar mandir di kawasan berair tenang serta lata yang cetek.
Adakalanya jumlahnya mencecah sehingga belasan ekor seperti yang pernah saya
lihat dan lubuk inilah sasaran utama kami.
Esoknya,
sebahagian dari kumpulan saya memancing di lubuk ini. Untuk mengelakkan
“kesesakan”, saya bersama seorang guide memancing di hilir lubuk
akuarium tersebut. Saya memilih kawasan
lata yg agak dalam kira-kira 200meter dari lubuk akuarium. Memandangkan kawasan
lata ini agak terbuka, saya terpaksa bersembunyi jauh dari joran selepas
melabuhkan umpan.
Kira-kira
sepuluh minit selepas melabuhkan umpan, joran saya direntap kasar dan terus
“terbang” ke gigi air. Ketika dalam kelam kabut hendak mendapatkan joran, saya
tergelincir di atas batu dan mengalami sedikit luka di bahagian lutut. Mujur
saya telah mengikat joran tersebut, kalau tak mungkin ianya telah menjadi tukun
di situ. Apabila saya mendapatkan kembali joran yang terjatuh tadi, ikan masih
ada di hujung tali tetapi belum sempat saya hendak mengepam joran, ikan dengan
pantas menyelinap ke celah kayu dan akhirnya putus. Selepas kejadian tersebut,
saya hanya berjaya mendaratkan dua ekor anak kelah kurang sekilogram dan seekor
tengas di lokasi yg sama. Ketiga-tiga ikan yang tak cukup saiz itu terus saya
lepaskan kembali.
Di satu sudut lain, guide kami
juga ada menerima rentapan dari kelah, namun ikan berjaya memutuskan tali utama
yang digunakan. Manakala rakan yang memancing di lubuk akuarium hanya
memperolehi seekor kelah hampir sekilogram. Manakala dua
lagi berjaya meloloskan diri dengan mencilok ke bawah batu. Di lubuk ini, hanya
tengas yang mendominasi tangkapan. Walaupun banyak, namun ianya bukan target sebenar
kami.
Highway kelah
Satu tip berguna yang diberitahu oleh guide
ialah tentang kawasan berpotensi untuk melabuhkan umpan di sungai ini. Berbeza
dengan sungai-sungai di tempat lain yang kebiasaannya umpan dilabuhkan di
kepala atau ekor lubuk. Di sini, cara terbaik untuk mendapat strike dari
kelah ialah dengan melabuhkan umpan di kawasan berjeram atau kolam air terjun
yang selalunya di huni ikan tengas.
Menurut kata guide, ini adalah
kerana jeram dan kolam air terjun di sini merupakan laluan utama atau highway
untuk kelah mudik ke hulu. Jika kita bergerak senyap atau bersembunyi
berdekatan air terjun serta sabar menanti, kelah boleh dilihat melompat naik di
kawasan air terjun ini. Kolam-kolam air terjun ini ibarat hentian “R&R”
bagi kelah sebelum meneruskan perjalanan ke hulu terutama pada waktu malam.
Namun, percubaan kami pada waktu malam di
kawasan seperti yang disebutkan hanya menghasilkan ikan tengas. Mungkin kerana
populasi tengas yang amat mewah di sungai ini menyebabkan kelah menjadi semakin
pasif.
Kelah akrobatik
Hari ketiga,kami
mula turun ke basecamp. Dalam perjalanan, kami singgah ke lubuk-lubuk yang dijangka berpotensi.
Namun, hanya seekor sahaja di perolehi dari lubuk air terjun oleh Mie. Rakan
yang lain langsung belum menerima sebarang strike walau dari anak kelah.
Ketika sampai di
basecamp, kami di kejutkan dengan berita tangkapan tujuh ekor kelah oleh
kumpulan satu lagi. Salah seorang pemancing dari kumpulan ini iaitu Azmi Mat
Din yang baru berjinak-jinak memancing kelah berjaya mendapat tiga ekor kelah
pada hari kedua dan dua ekor pada pagi hari ketiga. Salah seekor dari kelah
yang diperolehi terlepas kerana ikan tersebut hanya ditambat menggunakan tali
tangsi sahaja. Apalagi,putuslah jawabnya. Maklumlah,orang baru. Lucu juga bila
mendengarnya. Walaupun kelah yang diperolehinya bersaiz sederhana, namun ianya
cukup untuk membuatkan empunya diri ketagih.
Beliau yang
hanya memancing berdua bersama rakannya di sekitar basecamp terkejut
dengan rentapan-rentapan mengejut dari sang kelah. Ada satu kejadian menarik
yang di ceritakan beliau, seekor kelah anggaran dua kilogram telah melarikan
umpannya. Apabla dia membuat sentap balas, kelah tersebut meluru laju ke arah
air terjun di bahagian hilir sambil membuat akrobatik di udara beberapa
kali. Sayangnya kelah tersebut berjaya melepaskan diri setelah menuruni air
terjun tersebut. Ini merupakan peristiwa yang jarang-jarang berlaku kerana
kebiasaanya kelah akan membenam serta melarikan umpan ke celah batu atau kayu.
Kesan banjir
Walaupun kami
memancing di sungai yang jarang di cerobohi manusia ,namun itu bukan jaminan untuk memperolehi tangkapan yang
memuaskan apatah lagi jika mengharapkan bapak kelah yang datang menyambar umpan.
Mungkin kerana zon hulu sungai yang terlalu jernih airnya serta umpan buah
sawit yang tak pernah dijumpai kelah menyebabkan ikan was-was untuk menjamah
umpan yang dihulurkan. Acara casting juga hanya menghasilkan anak-anak sebarau
sahaja.
Selain itu, guide
mengatakan banjir besar yang melanda negeri Johor dan selatan Pahang
penghujung tahun lepas mungkin salah satu faktor penghijrahan ikan secara
mendadak ke lubuk-lubuk lain. Hampir 70 peratus lubuk-lubuk di sungai ini
berubah daripada asal menyebabkan ikan mencari lubuk yang lebih sesuai
samada ke bahagian yang lebih hulu atau
hilir dan memakan masa dua tiga bulan atau lebih untuk ia kembali ke lubuk
asalnya. Nampaknya, ada alasan untuk
datang semula kesini.
No comments:
Post a Comment