Friday, January 6, 2017

Menjejak Permata Di Air Yang Keruh




Ikan kelah merupakan spesies kap kedua terbesar dalam sistem sungai kita selepas temoleh dan boleh mencapai berat sehingga lebih 30 kg.  Namun hampir mushatil untuk kita bertemu dengan saiz sesasa itu di zaman millenium ini.  Kita dianggap cukup bertuah jika dapat menewaskan spesimen melebihi 4 kg dan saiz sebeginilah yang memiliki kuasa pecutan yang luar biasa dan ‘tak boleh control’.

“tor, dah ready untuk sesat ke?” itulah antara soalan yang diajukan oleh abang Zainal sewaktu kami bertemu di hentian R&R Tapah.  Lokasi pertemuan ketika dalam perjalanan menuju ke Jeli dalam ekspedisi ke sebuah sungai yang terletak di Barat Laut negeri Kelantan.  Saya hanya tersenyum sambil membalas “kita tawakal je”.

            Sebenarnya trip trekking ke sungai ini telah dirancang lebih sebulan lalu dan akan disertai oleh sebelas pemancing ‘tegar’.  Namun di saat-saat akhir, pemandu arah kami iaitu abang Zulkifli serta Jep tidak  dapat menyertai kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan.


Hendak Seribu Daya

            Memandangkan hanya tinggal kami sembilan orang, abang Zainal terpaksa menjadi guide ‘bidan terjun’ kerana hanya beliau sahaja di antara kami yang telah sampai ke sungai ini beberapa kali.  Berbekalkan sedikit panduan pengenalan lokasi atau check point yang boleh diingati dari abang Zulkifli serta semangat, kami bertekad untuk meneruskan ekspedisi ini.

Trekking bermula dari pinggir jalan yang menghubungkan antara  Jeli dan Grik  atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Timur-Barat.  Memandangkan lokasi yang bakal dituju telah lama tidak dikunjungi, abang Zainal telah mengingatkan kami supaya bersedia untuk sesat.  Malah tempoh perjalanan mungkin menjadi lebih panjang sekiranya kami tersalah arah.

Setelah lebih enam jam meredah hutan yang ada kalanya memaksa kami memanjat serta merangkak di bawah kayu tumbang, meniti cemas di lereng bukit yang curam serta ‘diekori’ binatang buas.  Kami akhirnya selamat tiba di tapak perkhemahan berhampiran sebuah lubuk besar di tebing sungai.  Mujurlah tidak sesat.



Namun begitu, sungai ini memaparkan tanda fizikal yang kurang menyenangkan.  Airnya cukup keruh, mungkin disebabkan hujan pada malam sebelumnya ditambah pula hujan lebat yang turun menyirami kami sejam sebelum tiba di basecamp.


            Selesai sahaja mendirikan khemah, hujan mulai reda seolah-olah memberi laluan kepada kami untuk mencari lesen pertama.  Masing-masing mula mencari spot yang sesuai untuk melabuhkan umpan.  Tanpa menunggu lama, beberapa ekor tengas saiz bujang berjaya dinaikkan pada petang itu.  Namun kegembiraan kami hanya seketika sahaja, hujan lebat sekali lagi turun untuk menguyupkan kami semua.  




Batalion Kelkatu

            Menjelang senja, hujan lebat masih rancak ‘menaip’ setiap inci permukaan bumi.  Dalam keadaan basah kuyup, kami terpaksa menyediakan juadah untuk makan malam.  Malang bagi kami, ketika sedang sibuk memasak kami diserang sejenis serangga terbang seakan-akan kelkatu yang bersaiz kecil.  Mungkin hujan lebat telah mendorong mereka keluar atau sarang mereka telah dimasuki air.

Habis semua punca cahaya ‘diserangnya’ sehingga hendak hidupkan lampu walau beberapa saat sekalipun tidak boleh.  Malah api dari dapur masakan kami juga turut diserang.  Lebih malang lagi, lauk yang telah dimasak turut sama dikerumun ‘mereka’ dalam sekelip mata sehingga nak makan pun tidak boleh.



Hujan lebat yang berlarutan akhirnya reda ketika jam menghampiri pukul sepuluh malam.  Mujur tidak dihambat kepala air lagi seperti pengalaman kami di hulu Sg. Koh pada tahun lepas.  Walaupun paras air meningkat melebihi satu meter, khemah kami masih berada di paras yang selamat.  Selepas itu tiada apa yang boleh kami buat selain sembang kosong dan tidur awal pada malam tersebut sambil perut menyanyikan lagu ‘keroncong untuk Ana’.

Peralatan Teruji

            Hari kedua, paras air semakin tinggi dan keruh.  Kami berpecah pada dua kumpulan supaya lebih banyak kawasan dapat diduga.  Kumpulan abang Zainal seramai empat orang merancang untuk naik jauh ke hulu sehingga ke penempatan tinggalan Orang Asli dan bermalam di sana.  Manakala kumpulan saya seramai lima orang pula mencuba di bahagian hilir khemah di antara tiga buah jeram besar.



            Memandangkan keadaan air yang begitu keruh, kami tidak menaruh harapan tinggi untuk mendapatkan hasil pada hari tersebut.  Sehingga petang, walaupun keadaan air bertambah surut, tiada tangkapan yang boleh dibanggakan kecuali seekor tengas mencecah sekilogram dari pancingan Haji Lan.  Tangkapan lain hanya ikan daun, baung dan beberapa ekor tengas bersaiz ‘bujang’.




            Malamnya, kami sekali lagi diserang kelkatu tetapi tidak seteruk malam pertama.  Hujan renyai yang turun sekali sekala menyebabkan saya, Nasz dan Haji Lan lebih berminat untuk berehat sahaja sambil berharap air akan bertambah surut dan jernih pada keesokkan harinya.  Hanya Kendo dan Kamal sahaja yang berminat untuk memancing pada malam itu.


Ketika baru nak melelapkan mata, berlaku sedikit kekecohan di luar khemah.  Rupa-rupanya seekor kelah hampir sekilogram telah berjaya didaratkan oleh Kamal dan sekaligus menyuntik kembali semangat kami yang hampir hilang untuk turut mencuba.  Rupanya pada malam tersebut, nasib kami lebih baik dari apa yang diharapkan.  Kurang setengah jam selepas itu, Nasz yang berada di sebelah saya bingkas bangun menahan jorannya yang melentur hebat ketika kami baru nak mula bersembang. 

Mangsa yang merampas umpan sawit mencicit laju menuju ke arah jeram tanpa dapat disekat seolah-olah drag dari kekili Abu Cardinal 804 tidak berfungsi.  Ternyata mangsa kali ini cukup gagah apabila berjaya membawa lari tali Gosen 38 paun sejauh lebih 40 meter dalam first run sahaja.  Mangsa sempat dilihat menghambur di tengah sungai apabila cahaya lampu disuluh ke arahnya sebelum membuat beberapa pecutan menggila.

Keadaan sedikit kelam kabut kerana Nasz terpaksa bertarung dalam kegelapan malam.  Lampu suluh hanya dihidupkan apabila perlu sahaja kerana kuatir mangsa akan terkejut apabila terlihat cahaya seperti tadi.  Hanya kata-kata semangat yang dapat kami bantu sambil ‘bersedia’ di gigi air.  Mujur kemahiran Nasz mengawal amukan mangsa dibantu joran Fenwick Eagle GT 10-20 paun berjaya mengekang hala tuju mangsa dari terus menuju ke arah jeram bertingkat di sebelah bawah.  Dari corak perlawanan, kami dapat mengagak gerangan siapakah yang punya angkara.


Rekod Tercipta

          Hampir 15 minit bertahan dan berlawan ‘tarik tali’, mangsa mula menunjukkan tanda-tanda mengalah.  Ketika ini, proses mengepam secara konsisten sambil menggarau tali amat penting bagi mengelakkan mangsa dari mengambil peluang untuk memutuskan tali di saat-saat genting.  Hanya sesekali ia mencuri keluar tali sambil menggunakan taktik terakhir iaitu memberatkan badan. 


            Mangsa akhirnya berjaya dipangku ke darat walaupun tali yang digunakan sudah teruk menggerutu disebabkan bergesel dengan batu-batu jeram.  Seperti yang dijangka, mangsa adalah seekor kelah (tor tambroides) yang cukup besar berskala 5.5 kg!  Masing-masing bersorak riang dengan tertewasnya raja sungai ini.  Nasz yang pertama kali bertarung dengan mangsa sebesar itu seakan terkena parkinson kerana menggigil seluruh badan akibat didera oleh kelah tersebut. 

Walaupun ramai yang beranggapan kelah tidak keluar mencari makan ketika air sungai keruh, namun kejadian sebaliknya berlaku pada kami.  Sebagai makhluk yang hidup di dalam media air yg sentiasa berubah, kelah dapat menyesuaikan diri untuk mencari makan walaupun dalam keadaan air yang keruh.  Kes ini sama seperti kelah yang bermastautin di lembangan Sg. Nenggiri dan Sg. Telom yang airnya sentiasa keruh hampir sepanjang tahun. 


            Menurut abang Zainal, di lokasi yang sama kelah sebagak 7 kg pernah ditewaskan beberapa tahun lepas.  Malah tarikan tak boleh control dan tali meletup putus juga kerapkali mereka alami.  Selang beberapa jam selepas itu, pancing saya pula direntap ikan sehingga joran yang bertambat terawang-awangan di pancang sebelum dapat dicapai.  Setelah bertarung seketika, bapak tengas 1.3 kg pula yang tunjuk muka. 


Badong Makan Sawit?

          Pagi berikutnya, paras dan kejernihan air sungai mula menampakkan serinya.  Saya dan Kendo berhasrat untuk mengilat pada pagi itu untuk memburu spesies pendendam gewang.  Namun setelah mencuba beberapa ketika dan bermacam jenis gewang kami gunakan, masih belum ada sebarau yang bersaiz kasar sudi meligan gewang kami sedangkan sungai ini cukup terkenal dengan sebaraunya. 


            Namun lain teknik yang diharapkan, umpan hirisan sawit untuk tengas pula yang dilarikan sebarau.  Kali ini giliran Kamal apabila makhluk misteri yang pada mulanya disangka kelah telah melarikan umpan sawitnya.  Setelah puas dilayan dengan set ringan dan berjaya didaratkan, rupanya En. Hampala macrolepidota yang punya angkara.  Nasib baik mata kail halusnya terbenam kukuh dalam daging bibir sebarau yang liat itu.  Kalau tidak, belum tentu sebarau tersebut dapat ditewaskan.


            Menurut Kamal, sebarau tersebut mungkin terlekat pada matakailnya apabila cuba ‘merampas’ ikan tengas yang memakan umpannya.  Kerana amat jarang kita dengar sebarau menjamah umpan sawit apatah lagi hirisan sawit tersebut hanya layak dibuat tahi giginya sahaja.  Walaupun begitu, sebarau tetap sebarau dan beratnya mencecah 2.5 kg apabila ditimbang.  Kamal sempat berseloroh dengan mengatakan ‘boleh datang lagi kalau ada trip ke sini’ .

            Sebelah malamnya, ada juga beberapa tarikan kasar yang kami terima tetapi berakhir apabila tali utama dan perambut meletup putus di awal pertarungan.  Kami hanya menggeleng kepala dengan sambaran demi sambaran yang berlaku.  Kami mengesyaki ianya mesti perbuatan kelah.  Selepas itu, walaupun kami tekun menunggu, tiada lagi sebarang tangkapan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan. 



Akan Musnah

          Dari pengamatan saya, potensi sungai ini cukup tinggi untuk memperolehi tangkapan pemecah rekod.  Berdasarkan saiz keluasan lubuk dan faktor kedalaman sungai, tidak keterlaluan jika saya mengatakan masih terdapat kelah bersaiz belasan kilo yang menghuninya di dalamnya.  Jeramnya juga boleh menjadi salah satu tarikan bagi penggemar sukan lasak yang ingin melakukan white water rafting.

            Walaupun begitu, ada satu panorama yang kurang ‘enak’ dapat kami lihat semasa berada di sana.  Penerokaan hutan bagi tujuan pembalakan cukup rancak dijalankan.  Sehinggakan ianya melebihi dari kawasan zon pemampan sungai yang bakal mengalirkan selut dan tanah dari kawasan yang dibuka.  Malahan kerja-kerja mengeluarkan balak masih kedengaran walaupun jam melewati pukul 5 pagi!



            Kami tidak tahu sampai bila perkara tersebut akan berterusan dan bagaimana nasib penghuni yang mewarnai sungai ini.  Adakah ianya hanya akan menjadi cerita ‘rakyat’ jika segalanya telah musnah.  Apa yang kami harapkan agar perkara ini tidak berlarutan supaya ianya dapat  dikongsi bersama anak cucu kita kelak.     

             
 




Thursday, January 5, 2017

Menghulu Gunung



Taman Negara Kuala Koh, satu nama yang cukup sinonim bagi pemancing sungai pergunungan terutama peminat ikan kelah. Lubuk-lubuk di sekitar Sungai Lebir seperti lubuk Kedah, Kaloi, Jengal dan Pertang antara lubuk yang sering menjadi tumpuan. Tetapi bagaimana pula dengan potensi Sungai Koh yang menjadi mercu tanda taman negara ini.

Ibarat mimpi menjadi kenyataan.  Mungkin itulah perumpamaan yang sesuai diberikan apabila matlamat saya untuk menduga salah satu spesis penongkah jeram iaitu ikan kejor dengan hanya berbekalkan gewang tercapai. Lazimnya, kebanyakkan pemancing lebih mengamalkan teknik pancingan konvensional untuk memburu spesis ini.  Walaupun ada juga kes tangkapan menggunakan gewang tetapi ianya amat jarang di laporkan.

Perancangan untuk mengilat ikan kejor ini disuarakan oleh boatman Amir beberapa bulan yang lalu.  Katanya, antara lokasi yang sesuai untuk tujuan tersebut adalah di hulu Sungai Koh. Tetapi untuk ke tempat tersebut, tiada perkhidmatan bot disediakan sebaliknya perlu trekking meredah bukit bukau selama lebih kurang tujuh jam!

 Sempena Namanya

          Sungai Koh yang mengalir dari arah barat Taman Negara ini merupakan salah satu cawangan utama Sungai Lebir.  Jika ditinjau di bahagian hilir jeti Taman Negara ini, kita boleh melihat kuala sungai hasil pertemuan antara Sungai Koh dan Sungai Lebir yang dipanggil Kuala Koh.  Dari pertemuan dua sungai inilah nama Taman Negara Kuala Koh diambil. 



            Walaupun sungai ini kelihatan agak kecil dan lesu di kuala, tetapi di hulunya ianya mengalir deras serta di hiasi berpuluh-puluh jeram dan air terjun yang cukup mempesonakan.  Selain itu, Sungai Koh juga turut di saliri oleh beberapa batang anak sungai antaranya Sungai Besu, Sungai Manau, Sungai Kuing, Sungai Paku dan banyak lagi.  Lubuk serta jeramnya juga mewah dengan populasi ikan sungai pergunungan seperti kejor, kelah dan juga sebarau. Yang paling mengujakan bagi pemancing seperti kami apabila diberitahu zon hulu sungai ini jarang-jarang dikunjungi pemancing.

Pancit

            Akhirnya pada penghujung March yang lalu, trip yang disertai seramai lapan pemancing dan diketuai oleh Amir sebagai guide memulakan langkah sekitar jam 10.30 pagi setelah segala urusan pembayaran permit dilakukan.  Telahan kami tentang trek yang bakal dilalui sekadar trek biasa ternyata silap kerana ianya lebih sukar dari jangkaan kami. 

Bagi yang pernah sampai ke hulu Sungai Koh ini, pasti tahu betapa siksanya ketika melalui trek yang di panggil Rentis Lata Purnama.  Walaupun hampir kesemua yang menyertai trip ini ada pengalaman dalam acara trekking, namun ramai yang “pancit” termasuk saya sendiri.  Ditambah pula badan yang tak cukup rehat setelah memandu hampir sepanjang malam. 

Selain dari trek yang di halangi pokok-pokok tumbang serta merentasi anak-anak sungai, kami juga terpaksa mendaki beberapa buah bukit yang agak curam.  Beg galas yang dibawa terasa seakan bertambah beratnya setelah beberapa jam berjalan terutama ketika mendaki bukit.  Silap haribulan, dagu boleh bertemu lutut!  Pendakian lebih terasa kerana sebahagian trek yang dilalui hampir tidak kelihatan dan seolah-olah tiada penghujung. 


Ada ketikanya sewaktu pendakian kaki hanya mampu membuat beberapa langkah sahaja dan terpaksa berhenti. Jika diteruskan, kaki boleh menjadi kejang.  Di waktu ini, ketahanan kaki amat diperlukan terutama sekali ketika menuruni bukit kerana jika tersilap langkah, pasti akan mengundang padah.  Justeru itu, penggunaan knee guard  serba sedikit dapat membantu menguatkan kaki yang semakin lemah.  Selain itu, ada juga yang mengambil kesempatan untuk tidur sebentar ketika berhenti berehat bagi memulihkan tenaga yang hampir hilang.

Lubuk Sungai Besu

            Setelah hampir tujuh jam perjalanan dan hari melewati senja, kami akhirnya sampai ke tapak perkhemahan berhampiran sebuah lubuk yang dinamakan Lubuk Sungai Besu dalam keadaan yang teramat letih.  Selesai mendirikan khemah, kami memulakan acara mengilat dalam remang-remang senja sebagai sesi pemanas badan. 


Tanpa menunggu lama, Amir  berjaya memperolehi strike pertama  dari bujuk skala 1.2kg menggunakan sesudu.  Selepas itu keadaan menjadi sepi walaupun waktu tersebut merupakan waktu “makan malam” bagi keluarga sebarau.  Malamnya, sesi pancingan dasar berumpan cengkerik menghasilkan beberapa ekor tengas daun serta baung saiz sederhana dan seekor keli pergunungan.


 Jernih Kristal

            Pagi hari kedua, selesai mengalas perut kami mula bergerak ke hulu melalui trek yang telah lama ditinggalkan.  Menurut Amir, trek tersebut digunakan oleh pendaki untuk ke Gunung Tahan melalui pintu masuk Taman Negara Kuala Koh yang akan mengambil masa selama sembilan hari!  



Lebih kurang dua jam kemudian, kami tiba di kawasan jeram yang agak panjang dan airnya yang jernih kristal membolehkan kami melihat ikan berlegar-legar di dalamnya.   Mengilat di sini hanya menghasilkan beberapa ekor tengas daun serta anak-anak sebarau,  manakala kejor masih sifar.  Mungkin kerana hari belum cukup panas  seperti kata Amir.  Menurutnya, kejor di sini lebih berminat dengan gewang ketika hari mulai panas sekitar jam 11 pagi. 

            Memandangkan hari masih awal, kami mengambil keputusan untuk pergi lebih ke hulu manakala beberapa orang rakan saya lebih berminat untuk pancing dasar di sekitar kawasan jeram tadi.  Perjalanan ke hulu lebih sukar kerana kami perlu meredah berpuluh jeram serta memanjat sebuah air terjun yang agak tinggi yang dihalang sebongkah batu besar di tengah-tengahnya. 

Kejor Ratah Besi


        Melepasi air terjun tersebut, terbentang kawasan lata dan lubuk yang agak kecil tetapi kelihatan berpotensi untuk acara mengilat.  Pada mulanya saya lebih berminat untuk menggunakan gewang replika ikan untuk memikat kejor di situ.  Namun, apabila melihat Amir yang cukup masak dengan perangai ikan di situ menaikkan kejor satu persatu hanya menggunakan sesudu sahaja, saya mula beralih arah dengan menggunakan sesudu juga. 

Ternyata, kejor di sini lebih berminat dengan gelekan umpan besi berbanding gewang replika ikan terutama yang menyerupai sesudu klasik Abu Toby dan Abu Island.  Walaupun ada sambaran dari gewang replika ikan tetapi peratusannya agak sedikit.  Selepas itu, barulah saya berjaya mendaratkan kejor satu persatu tetapi saiznya hanyalah bawah sekilogram. Menurut kata Amir, rata-rata kejor yang biasa didaratkan di situ jarang melebihi saiz dua kilogram.

            Sewaktu mengilat di satu lubuk yang agak dalam, balingan sesudu saya ke bawah dahan pokok yang menjuntai ke air terus disambar seekor kejor.  Pada mulanya, ikan tersebut hanya mengikut sahaja tanpa memberikan tentangan namun selepas beberapa ketika, ia mula membenam dengan kuat .  Sayangnya setelah puas bermain, kejor yang di anggarkan melebihi sekilogram itu terlepas hanya dua kaki dari gigi air.  Tergaman saya dibuatnya.

Di satu kawasan lata yang sederhana dalam, Amir menerima satu strike yang agak kasar tetapi rabut ketika sesudunya melewati sebongkah batu di dasar sungai.  Kemudian, ikan yang menyambar tadi membuat sambaran kedua dan kali ini lekat.  Keadaan air yang cukup jernih menampakkan gerak geri ikan ketika ia menyambar umpan. 

Dari tentangan yang diberikan, ternyata mangsa kali ini agak kasar dan Amir melayannya dengan penuh berhati-hati.  Agak lama juga Amir melayan ikan tersebut sebelum ia terdampar ke gigi air.  Apabila ditimbang, berat ikan tersebut mencecah skala 1.8kg dan panjangnya mencapai 60 sentimeter. 

Kawanan Kejor

Mengilat di sini, acapkali berlaku di mana kawanan kejor antara lima hingga enam ekor berebut-rebut untuk menyambar sesudu yang dilontarkan.  Ada juga yang berani mengejar sesudu sehingga rapat ke tebing tanpa menghiraukan pemancing yang terpacak di situ.  Ini menunjukkan bahawa kawasan tersebut amat jarang diterokai manusia.  Semakin ke hulu, semakin banyak ikan sehinggakan air sedalam antara dua hingga tiga kaki pun di huni kejor melebihi sekilogram. 

Dari pemerhatian saya, kejor di sini lebih cepat tertarik dengan sesudu yang dilontarkan di kawasan alur yang berair laju atau di kepala jeram.  Manakala di kawasan lubuk yang berair tenang pula, tumpukan balingan di kawasan yang dipayungi  pokok serta dahannya terjuntai ke tebing sungai.  Kejor gemar menyambar sesudu yang baru jatuh di kawasan yang saya sebutkan.  Sekiranya ikan hanya mengekori sesudu, cuba perlahankan karauan atau berhenti seketika.  Biasanya kejor akan menyambar sesudu yang sedang membuai jatuh.


Satu kejadian menarik berlaku apabila sesudu yang saya lontarkan di kepala sebuah jeram diekori beberapa ekor kejor baya-baya sekilogram hingga ke tebing tetapi sesudu tersebut tidak disambarnya.  Kemudian kawanan kejor tersebut hanya berlegar-legar di sebalik batu yang jaraknya hanya lebih kurang tiga meter dari saya.

Balingan seterusnya ke tempat ikan tersebut berlegar terus disambar salah seekor daripadanya dan ikan tersebut terus meluru laju menuruni jeram dan dengan pantas mencilok di sebalik batu besar di tebing sungai.  Tindakan ikan tersebut memaksa saya memanjat batu besar tersebut bagi mengawal lariannya kerana tiada tempat lain untuk saya berdiri.

Ternyata mangsa kali ini agak kuat melawan apabila berjaya mencuri bebarapa ela tali sulam 10lb yang saya gunakan sehinggakan tangan saya lenguh menahan pecutannya.  Kombinasi kekili Shimano Sensilite Mg 1500  serta joran Daiwa Megaforce 8-14lb akhirnya berjaya mengekang larian mangsa.  Setelah didaratkan, kejor seberat 1.45kg itu merupakan seekor ikan jantan.  Patutlah kuat semacam.

Mana Kelah




Selepas itu, beberapa ekor lagi kejor berjaya didaratkan yang kebanyakkannya kami lepaskan semula.  Sedar tak sedar, rupa-rupanya kami telah jauh ke hulu.  Yang peliknya, zon hulu sungai ini hanya di monopoli oleh ikan kejor.  Sebarau langsung tak nampak bayang walaupun yang bersaiz juvenil.  Manakala kelah yang kebiasaannya berkongsi habitat dengan kejor masih malu-malu untuk menjamah sesudu kami walaupun kelibatnya beberapa kali di lihat mengekori sesudu. 


Rakan yang memancing dasar juga mengkhabarkan berita kejor serta seekor baung yang berani menyambar sesudu.  Kelah tetap enggan menjamah umpan yang dihulurkan.  Mungkin air yang terlalu jernih menambahkan lagi kecurigaan kelah terhadap umpan.  Setelah jam menghampiri pukul tiga petang, kami mula bergerak turun tanpa menoleh kebelakang lagi.  Bagi menjimatkan masa, kami mengambil keputusan untuk turun ke khemah menyusuri sungai sahaja.  Dalam keadaan hujan, kami selamat tiba di khemah dengan kaki yang sengal-sengal setelah hampir empat jam berjalan   Pada masa ini, barulah terasa betapa sakitnya kaki apabila dipaksa bekerja keras.  Masa tengah syok memancing tadi, tak pulak terasa sakit.



Hujan yang turun agak lebat menyebabkan air menjadi sedikit keruh pada keesokannya.  Acara mengilat hanya dijalankan sehingga tengahari sahaja apabila tiada sebarang strike di perolehi walaupun berbagai jenis sesudu dan gewang digunakan. Saya yang mengharapkan “badung” pada hari tersebut turut panjang tangan melontar gewang yang tidak bersambut.  Sebelah petang, agenda ditukar kepada pancingan dasar dan kejor tetap pencabar nombor satu serta beberapa ekor tengas daun.


            Hari terakhir, kami mengambil keputusan untuk pulang awal setelah melihat tiada tanda-tanda air akan kembali jernih.  Maka bermulalah kembali episod perit meniti jalan pulang.  Walaupun terasa seakan serik, tetapi kami tetap merancang untuk datang kembali!  Mungkin kelah pula menjadi target kami selepas ini.


Somewhere River


'Rombongan' selama beberapa hari ke sebuah sungai yang dinobatkan sebagai salah satu syurga kelah di pedalaman Pahang dengan trekking memberikan seribu satu pengalaman yang sukar dilupakan.





   Balingan umpan kelapa sawit di kolam air terjun terus disambar rakus oleh penghuni di dalamnya tanpa sebarang isyarat. Sembatan padu yang dilakukan menyebabkan ikan memecut laju menuruni jeram yang berair deras tanpa dapat dikawal. Drag kekili tica Baitrunner 4000 seolah-olah tidak berfungsi lantas tapak tangan menahan gelendung untuk menyekat larian menggila sang ikan. Gabungan tali utama sekasar 40paun beserta perambut 35paun langsung tak memberi kesan pada pecutan sang ikan. Namun, selang beberapa saat kemudian tali menjadi kendur menandakan mangsa sudah terlepas. Apabila diperiksa, rupa-rupanya matakail Gamakatsu saiz 2/0 yang digunakan menjadi lurus. 


   Itulah antara senario menarik yang dapat dilihat semasa kunjungan saya ke sebuah sungai di selatan Pahang baru-baru ini. Bagi pemburu ikan kelah, kejadian seperti ini merupakan asam garam dalam memburunya. Walaupun ikan berjaya dipujuk untuk memakan umpan, belum tentu ia dapat didaratkan kerana kepantasan serta kudrat luarbiasanya seringkali menyebabkan pemburunya mengeluh


Menguji stamina


  Trip yang dirancang lebih dua bulan ini memaksa pesertanya mengerah segala kudrat kerana perlu merentas hutan atau trekking yang memakan masa lebih dari enam jam. Dolah, selaku penganjur trip ini awal-awal lagi menyuruh semua peserta mencari stamina sebelum berangkat. Perjalanan dimulakan seawal jam 4.30 pagi. Walaupun perjalanan agak mudah pada mulanya, namun selepas beberapa jam halangan seperti meredah anak-anak sungai serta balak tumbang semakin memperlahankan perjalanan.

  Kontour muka bumi yang berbukit-bukit  dan  adakalanya perlu mendaki bukit 45 darjah menyebabkan ramai yang “pancit” di pertengahan jalan. Di samping itu, ratusan pacat sentiasa menanti untuk menghisap darah “percuma”. Ianya benar-benar menguji kekuatan fizikal dan mental setiap peserta. Walau bagaimanapun, setibanya di basecamp segala perit jerih yang dilalui hilang apabila sungai yg ditujui terbentang di depan mata. Kesyahduan belantara dan bunyi air mengalir betul-betul menenangkan minda.


  Memandangkan jumlah lubuk yang agak terhad di sekitar basecamp serta bilangan pemancing yang ramai, kami berpecah pada dua kumpulan. Satu kumpulan memancing di sekitar basecamp manakala kumpulan saya memancing di lubuk di bahagian lebih hulu iaitu lagi dua jam perjalanan dari basecamp serta bermalam di sana.


Lubuk Akuarium



   Dalam perjalanan, kami sempat singgah di beberapa lubuk antaranya lubuk air terjun, lubuk gajah dan lubuk batu belah. Di lubuk air terjun, seekor kelah besar telah melarikan umpan milik guide kami seperti di permulaan cerita tadi. Kami yang melihat hanya mampu menggeleng kepala apabila kelah berjaya meloloskan diri setelah meluruskan matakail. 



Berhampiran tapak khemah kami, terdapat sebuah lubuk sederhana besar yg dinamakan Lubuk Akuarium oleh guide di sini. Dalam trip-trip sebelum ini, di lubuk inilah kelah paling banyak didaratkan. Ketika air jernih, kelah skala 1kg-3kg boleh dilihat mundar mandir di kawasan berair tenang serta lata yang cetek. Adakalanya jumlahnya mencecah sehingga belasan ekor seperti yang pernah saya lihat dan lubuk inilah sasaran utama kami.

Esoknya, sebahagian dari kumpulan saya memancing di lubuk ini. Untuk mengelakkan “kesesakan”, saya bersama seorang guide memancing di hilir lubuk akuarium tersebut.  Saya memilih kawasan lata yg agak dalam kira-kira 200meter dari lubuk akuarium. Memandangkan kawasan lata ini agak terbuka, saya terpaksa bersembunyi jauh dari joran selepas melabuhkan umpan.

Kira-kira sepuluh minit selepas melabuhkan umpan, joran saya direntap kasar dan terus “terbang” ke gigi air. Ketika dalam kelam kabut hendak mendapatkan joran, saya tergelincir di atas batu dan mengalami sedikit luka di bahagian lutut. Mujur saya telah mengikat joran tersebut, kalau tak mungkin ianya telah menjadi tukun di situ. Apabila saya mendapatkan kembali joran yang terjatuh tadi, ikan masih ada di hujung tali tetapi belum sempat saya hendak mengepam joran, ikan dengan pantas menyelinap ke celah kayu dan akhirnya putus. Selepas kejadian tersebut, saya hanya berjaya mendaratkan dua ekor anak kelah kurang sekilogram dan seekor tengas di lokasi yg sama. Ketiga-tiga ikan yang tak cukup saiz itu terus saya lepaskan kembali.





Di satu sudut lain, guide kami juga ada menerima rentapan dari kelah, namun ikan berjaya memutuskan tali utama yang digunakan. Manakala rakan yang memancing di lubuk akuarium hanya memperolehi seekor kelah hampir sekilogram. Manakala dua lagi berjaya meloloskan diri dengan mencilok ke bawah batu. Di lubuk ini, hanya tengas yang mendominasi tangkapan. Walaupun banyak, namun ianya bukan target sebenar kami. 

Highway kelah

   Satu tip berguna yang diberitahu oleh guide ialah tentang kawasan berpotensi untuk melabuhkan umpan di sungai ini. Berbeza dengan sungai-sungai di tempat lain yang kebiasaannya umpan dilabuhkan di kepala atau ekor lubuk. Di sini, cara terbaik untuk mendapat strike dari kelah ialah dengan melabuhkan umpan di kawasan berjeram atau kolam air terjun yang selalunya di  huni ikan tengas.

   Menurut kata guide, ini adalah kerana jeram dan kolam air terjun di sini merupakan laluan utama atau highway untuk kelah mudik ke hulu. Jika kita bergerak senyap atau bersembunyi berdekatan air terjun serta sabar menanti, kelah boleh dilihat melompat naik di kawasan air terjun ini. Kolam-kolam air terjun ini ibarat hentian “R&R” bagi kelah sebelum meneruskan perjalanan ke hulu terutama pada waktu malam.

   Namun, percubaan kami pada waktu malam di kawasan seperti yang disebutkan hanya menghasilkan ikan tengas. Mungkin kerana populasi tengas yang amat mewah di sungai ini menyebabkan kelah menjadi semakin pasif. 



Kelah akrobatik


   Hari ketiga,kami mula turun ke basecamp. Dalam perjalanan, kami singgah  ke lubuk-lubuk yang dijangka berpotensi. Namun, hanya seekor sahaja di perolehi dari lubuk air terjun oleh Mie. Rakan yang lain langsung belum menerima sebarang strike walau dari anak kelah.

   Ketika sampai di basecamp, kami di kejutkan dengan berita tangkapan tujuh ekor kelah oleh kumpulan satu lagi. Salah seorang pemancing dari kumpulan ini iaitu Azmi Mat Din yang baru berjinak-jinak memancing kelah berjaya mendapat tiga ekor kelah pada hari kedua dan dua ekor pada pagi hari ketiga. Salah seekor dari kelah yang diperolehi terlepas kerana ikan tersebut hanya ditambat menggunakan tali tangsi sahaja. Apalagi,putuslah jawabnya. Maklumlah,orang baru. Lucu juga bila mendengarnya. Walaupun kelah yang diperolehinya bersaiz sederhana, namun ianya cukup untuk membuatkan empunya diri  ketagih.







   Beliau yang hanya memancing berdua bersama rakannya di sekitar basecamp terkejut dengan rentapan-rentapan mengejut dari sang kelah. Ada satu kejadian menarik yang di ceritakan beliau, seekor kelah anggaran dua kilogram telah melarikan umpannya. Apabla dia membuat sentap balas, kelah tersebut meluru laju ke arah air terjun di bahagian hilir sambil membuat akrobatik di udara beberapa kali. Sayangnya kelah tersebut berjaya melepaskan diri setelah menuruni air terjun tersebut. Ini merupakan peristiwa yang jarang-jarang berlaku kerana kebiasaanya kelah akan membenam serta melarikan umpan ke celah batu atau kayu. 



Kesan banjir


   Walaupun kami memancing di sungai yang jarang di cerobohi manusia ,namun itu bukan jaminan untuk memperolehi tangkapan yang memuaskan apatah lagi jika mengharapkan bapak kelah yang datang menyambar umpan. Mungkin kerana zon hulu sungai yang terlalu jernih airnya serta umpan buah sawit yang tak pernah dijumpai kelah menyebabkan ikan was-was untuk menjamah umpan yang dihulurkan. Acara casting juga hanya menghasilkan anak-anak sebarau sahaja.

   Selain itu, guide mengatakan banjir besar yang melanda negeri Johor dan selatan Pahang penghujung tahun lepas mungkin salah satu faktor penghijrahan ikan secara mendadak ke lubuk-lubuk lain. Hampir 70 peratus lubuk-lubuk di sungai ini berubah daripada asal menyebabkan ikan mencari lubuk yang lebih sesuai samada  ke bahagian yang lebih hulu atau hilir dan memakan masa dua tiga bulan atau lebih untuk ia kembali ke lubuk asalnya.  Nampaknya, ada alasan untuk datang semula kesini.